NUFFNANG

Wednesday, 7 August 2013

ISU-ISU AKHBAR CINA

ISU-ISU AKHBAR CINA


PERLU PERBINCANGAN ANTARA KAUM

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 31 Julai 2013 menyiarkan artikel mengenai kontroversi pembikinan filem The New Village terbitan Astro Shaw. 

Filem arahan Wong Kew Lit dengan kos RM3 juta itu memaparkan kisah yang berlaku pada 1949 ketika Tanah Melayu diisytiharkan darurat.

Artikel bertajuk ‘Merentasi sejarah’ yang ditulis oleh Timbalan Pengarang akhbar berkenaan, Lim Sue Goan disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 38.

Filem tempatan berjudul The New Village telah menyebabkan timbul pertikaian. Apa yang berlaku ini menunjukkan wujud perbezaan yang ketara berkaitan daya ingatan sejarah antara orang Melayu dan Cina.

Salah satu sejarah Semenanjung Malaysia adalah berkaitan peranan yang telah dimainkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ingatan sejarah orang Melayu berkaitan PKM adalah pahit. 

Ini termasuk ingatan-ingatan bagaimana askar Melayu telah mati dan cedera semasa berperang dengan komunis.

Orang Cina juga mempunyai ingatan sejarah tersendiri berkaitan komunis. Banyak cerita yang tidak habis-habis di zaman penjajah British.

Orang Melayu merasa takut terhadap komunis dan penentangan mereka bermula pada 1945.

Pada Julai 1947, kerajaan British mengumumkan perintah berkurung dan mengharamkan PKM. Ini menyebabkan anggota komunis masuk ke dalam hutan dan memulakan perang gerila.

Darurat yang bermula pada 1948 berterusan sehingga 1960. Seluruh Semenanjung Malaysia terjerumus ke dalam kancah peperangan.

Antara strategi British adalah dengan secara paksa mengerahkan orang Cina yang tinggal bersepah untuk disatukan di dalam penempatan khas yang dinamakan ‘Kampung Baru’ supaya dapat diputuskan penghantaran bekalan makanan kepada pihak komunis.

Kenapa saudara kita orang Melayu (UMNO) begitu bencikan komunis? 

Ini dapat dilihat daripada reaksi mereka terhadap pelbagai peristiwa yang berlaku secara berturutan selepas komunis meletakkan senjata.

Contohnya, permohonan bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng untuk kembali ke tanah air telah ditolak. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan alasan jika dibenarkan beliau kembali ke tanah air, ia akan melukakan hati dan perasaan keluarga mangsa pembunuhan komunis.

Pada Jun 2011, seramai 30 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan pihak polis kerana mereka memakai kemeja-T yang mempunyai gambar pemimpin PKM dan mengedarkan risalah mahu menggulingkan kerajaan.

Semasa pihak polis menggeledah, turut dijumpai 28 helai baju yang tertera gambar pemimpin sosialis Cuba, Che Guevara dan pemimpin PKM seperti Chin Peng, Abdul Sidek, Rashid Maidin dan Suriyani.

Pada September 2011 pula, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan kenyataan ‘menyokong komunis’ telah dituduh menghina keluarga dan mangsa peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. 

Dalam kejadian itu, pihak komunis telah menyerang anggota dan keluarga polis yang bertugas di balai berkenaan.

Mohamad mengibaratkan bahawa pemimpin komunis, Mat Indera yang nekad menyerang balai polis itu adalah wira.

Utusan Malaysia pula menuduh Mohamad mahu menyebarkan dakyah komunis. 

Ini menyebabkan berlaku gelombang besar daripada pelbagai pihak yang telah membuat banyak aduan kepada polis.

Mohamad yang menafikan beliau menyanjung pergerakan komunis berkata, kenyataannya bertujuan memperbetulkan fakta sejarah dan mahukan jasa-jasa dan perjuangan pihak sayap kiri dalam memerdekakan negara diakui.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah membuat kenyataan bahawa salah satu dasar ikrar Rukun Negara adalah percaya kepada Tuhan.

Sebab itu komunis dilarang di negara ini dan mana-mana pihak yang menyebarkan fahaman komunis adalah menyalahi undang-undang.

Fahaman dan ideologi yang dibawa filem The New Village dianggap menyebarkan dakyah komunis. Walaupun orang yang mengkritik itu hanya menonton episod ringkas dan belum lagi mengikuti tayangan wayang gambar yang sebenar.

Kini filem berkenaan menjadi isu. Ia melambangkan nasib yang dialami oleh setiap kaum di negara ini yang mempunyai terjemahan berbeza berkaitan sejarah pembangunan negara.

Perselisihan faham antara kaum juga berlaku membabitkan isu-isu penyusunan semula masyarakat, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sistem kuota.

Langkah untuk memperkukuhkan dan mengeratkan ikatan antara penduduk pelbagai etnik hanya akan berjaya sekiranya setiap kaum cuba menghayati kisah sejarah berdasarkan sudut pandangan kaum lain.

Apa yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “Masyarakat Malaysia bertukar menjadi sensitif" adalah berpunca kerana setiap kaum saling tidak memahami di antara satu sama lain.
Mereka juga tidak saling berbincang dan hanya sekadar mendengar cakap sahaja. Ini hanya akan menyebabkan kita semua terjerumus ke jalan mati.


KEPENTINGAN KUASA POLITIK

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 5 Ogos 2013 menyiarkan artikel mengenai sebab-sebab kenapa orang Cina mahukan kuasa politik.

Artikel bertajuk ‘Rakan kongsi paling sesuai Mahathir’ yang ditulis oleh Kang Bi disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C8.

Siapakah sebenarnya si Mahathir (?) Persoalan dalam kurungan ini saya tidak berani sentuh mengikut pandangan saya sendiri. Saya tidak sanggup berbuat demikian kerana bimbang akan tersilap membuat andaian.

Saya juga tidak bermaksud menjadikan orang tua brother Mahathir ini sebagai rakan karib atau adik beradik saya.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau masih lagi tidak mahu senyap, sebaliknya sentiasa bersuara, cakap itu dan ini.

Baru-baru ini beliau berkata, orang Melayu dan Cina mempunyai peranan masing-masing.

Peranan orang Melayu adalah menjaga politik dan peranan orang Cina pula menjaga ekonomi, itu adalah yang paling sesuai.

Beliau berkata, jika orang Cina menjaga politik, negara akan menjadi tidak aman dan jika orang Melayu menjaga ekonomi, negara akan bankrap. 

Sebab itu politik biar dijaga oleh orang Melayu dan orang Cina menjaga ekonomi.

Awak cari untung, saya boleh bazirkannya. Sudah tentu cara itu sangat ideal. 

Tetapi ini ada kaitannya dengan keseimbangan kuasa dan wang, sama ada kuasa itu penting ataupun duit yang lebih penting?

Mahathir berkuasa lebih 20 tahun dan beliau kenal erti kepentingan politik. 

Semasa kuasa berada di tangan, beliau boleh memerintah dan mampu membuat apa sahaja yang diinginkan. 

Gunakan kuasa dan kekayaan negara untuk membeli bank dan syarikat.

Banyak ahli perniagaan yang telah bertungkus lumus bekerja, tetapi bila-bila masa sahaja boleh dipaksa menyerahkan syarikat mereka. 

Apa boleh buat, walaupun kita ada duit?

Kita bukan tidak tahu siapa yang sangat kaya di negara ini. 

Nama itu saya tidak ingat lagi. 

Adakah beliau dimasukkan ke dalam penjara? 

Ini bermakna kuasa boleh mewujudkan keadilan, ada kuasa ada keadilan.

Hari ini masalah yang dihadapi oleh masyarakat Cina dari segi politik, kewangan, bahasa dan pendidikan berpunca kerana mereka tidak mempunyai kuasa.

Masyarakat Cina dihina dan ketidakadilan terhadap kaum itu jelas terpapar di depan mata kita.

Anak-anak Cina yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang, tidak mendapat biasiswa dan tempat untuk memasuki universiti. Bukankah pihak kerajaan agak keterlaluan?

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU- 13), orang Cina dituduh melakukan tsunami politik. Sebenarnya ia bukan begitu.

Apa yang kita nampak, orang Melayu selepas PRU-13 lebih banyak melakukan tsunami apabila mereka mula menyimpan dendam dan menghukum orang Cina.

Perkara ini boleh dilihat dengan jelas termasuk isu penutupan jalan Jonker Street di Melaka.

 Sudah pasti selepas ini akan timbul banyak lagi isu-isu lain secara berturutan yang berpunca daripada tindakan orang Melayu ingin membalas dendam.

Memang benar orang Melayu tidak pandai berniaga. Adalah bagus juga pihak kerajaan memberikan orang Melayu tongkat dan kereta sorong.

Biar mereka duduk sahaja sambil menerima duit yang bertimbun-timbun. 

Mereka mendapat habuan daripada hasil usaha orang yang bertungkus lumus mencari rezeki. Buat apa Melayu nak berniaga! Kerana orang Cina lagi bijak berniaga dan banyak membuat untung.

Hari ini tidak lagi kedengaran suara ‘yam seng’ (minum untuk menyambut kemenangan). 

Hanya kedengaran sekarang suara untung! untung! untung!

Selalunya masyarakat Cina akan tanamkan dalam fikiran anak-anak mereka bagaimana cara berniaga untuk mendapat keuntungan dan macam mana boleh untung besar.

Bagaimanapun mereka terlupa bahawa apabila wang telah banyak ketika kita tiada kuasa politik, semua harta dan duit bukankah bulat-bulat akan diserahkan kepada orang lain?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130807/re_07/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2bGa72HNY © Utusan Melayu (M) Bhd 


source : utusan

No comments: