NUFFNANG

Tuesday 22 November 2016

DIN TURTLE (SHAIFUDIN BIN MAHMUD) INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROAJI'UN.

DIN TURTLE (SHAIFUDIN BIN MAHMUD)


INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROAJI'UN.


Tidak ada kata-kata yang dapat memaparkan perasaan saya dengan kepulangan ke rahmatullah seorang sahabat seperjuangan.

Din ialah seorang blogger yang miskin tetapi berprinsip dan tidak dapat dibeli dengan wang.

Pernah beliau ditawarkan RM3,000.00 ke RM5,000.00 sebulan hanya untuk berhenti menulis lagi.

Dengan ikhlas beliau mengaku menerima RM3,000.00 untuk sebulan, tetapi beliau menyesal dan tidak mahu menerima lagi walaupun bayarannya hendak ditambah.

Pada bulan puasa yang lalu beliau berhasrat untuk berhenti menulis kerana ingin menjadi kakitangan sekuriti di sebuah pasaraya di Kuala Trengganu untuk mengawasi keselamatan mereka yang menjual kueh-mueh di bulan puasa. Elaunnya hanya RM2,000.00 dan katanya untuk belanja hari raya. Setelah beberapa hari beliau tidak sanggup berhenti menulis dan terus berhenti kerja.

Dalam pertemuan terakhir saya dengannya beliau berkata, walaupun keadaan beliau tidak mewah dia tidak mahu jadi macam ikan di kolam Ho Chi Minh, tidak mahu pakai cermin mata hijau yang hendak diberi oleh Pak Warso, tidak sanggup tertangkap seperti beruk di Afrika dan akhir sekali beliau tidak mahu jadi seperti burung yang makan dedak di Denmark.

Jelas sekali Din sentiasa mengikuti blog saya sebagaimana juga saya banyak belajar dari blognya.

Untuk mengingati Din saya turunkan di bawah ini 17 rakaman yang beliau buat dengan saya dari masa ke masa.

Din tidak sempat melihat hasil dari perjuangannya; tetapi, yang penting ialah niat yang betul dan suci dalam mengendalikan perjuangan, kerana hasilnya nanti Allah swt yang menentukan.

Sama-samalah kita berdo'a semoga Allah swt menerima semua ibadatnya, mengampun semua dosanya dan meletakkannya disamping mereka yang dikasihiNYA.  

DIN TURTLE DALAM KENANGAN (1966-2016)



Visi 20-20 Berbeza Visi 20-50 - 30 Oktober 2016


BR1M - Lembu Pakai Cermin Mata - 27 Oktober 2016



Selamatkan Malaysia - Johor Bharu 30 April 2016




Apa Itu Sayang UMNO? - 11 Mac 2016



Hi-Tea Bersama Tun M - 3 Oktober 2015



Ulasan Alasan Derma - 26 Ogos 2015




 Siapa Bangsat? - 25 Ogos 2015




Kabinet 1MDB - 1 Ogos 2015



Kenapa Tun Bercakap Pada Media Asing - 31 Julai 2015



Beza Pemecatan TPM - 31 Julai 2015



Cara Tun Mahathir Menyelesaikan Masalah - 4 April 2015



1MDB dan Perpaduan - 21 Mac 2015



Antara Mahathir dan Najib - 21 Jan 2015



Teguran Tun M - 11 September 2014




Akta Hasutan - 9 September 2014





Senaraikan Masalah Melayu - 9 September 2014



[interesting article to be read by all!...] ... KOMEN TUN MAHATHIR MENGENAI KEJATUHAN RINGGIT

[interesting article to be read by all!...] ... KOMEN TUN MAHATHIR MENGENAI KEJATUHAN RINGGIT


Ringgit Malaysia hari ini jatuh susut kepada RM4.40 berbanding Dollar Amerika (USD) di mana sebelum ini portal Malaysiakini melaporkan penganalisis meramalkan ia boleh jatuh sehingga RM4.80.


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di soal benarkah perhimpunan BERSIH 5 akan menyebabkan ekonomi merosot.

Ringgit Malaysia jatuh kerana dunia hilang kepercayaan melihat pemerintahan yang terlibat dengan rasuah sekaligus mengakibatkan harga barangan meningkat dan bekalan tidak mencukupi kata, Tun Dr Mahathir.
“Dunia melihat satu pemerintahan yang cuai, yang terlibat dengan rasuah, mereka hilang kepercayaan dengan itu nilai matawang merosot, dan juga harga barangan naik, bekalan tidak mencukupi, dan macam-macam lagi masaalah yang menyerang rakyat kerana kesalahan pentadbiran Datuk Seri Najib,” katanya.
Menjawab soalan sama ada Himpunan Bersih menyebabkan ekonomi merosot, Tun Mahathir sebelum itu menegaskan bahawa ekonomi negara kini sudah pun merosot kerana pemerintahan perdana menteri.
Tun Mahathir berkata demikian dalam rakaman video promosi mengajak rakyat untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Bersih 5 yang akan diadakan di Dataran Merdeka esok (19 November 2016).
Ringgit Malaysia hari ini menunjukkan kejatuhan lebih teruk apabila nilainya susut kepada RM4.40 berbanding Dollar Amerika (USD).
Kejatuhan itu dijangka bakal mengakibatkan peningkatan lebih tinggi harga barangan yang sudah sedia mahal sekaligus menambah beban kepada rakyat yang sudah sedia terhimpit. - 

[article menarik mesti dibaca semua!...]...Media Arus Perdana Semakin Terdesak

[article menarik mesti dibaca semua!...]...Media Arus Perdana Semakin Terdesak



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

REAKSI media arus perdana (MAP) terhadap tunjuk perasaan aman Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) siri kelima Ahad lalu tidak memeranjatkan.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Mereka sangat terdesak untuk menggambarkan gerakan rakyat itu sebagai ganas, perkauman dan gagal. Yang paling menekan peneraju dan tukang karut MAP adalah penyertaan ramai orang Melayu dalam Bersih 5.

Hakikat itu mematikan hujah kegemaran MAP selama ini, iaitu Bersih adalah gerakan perkauman yang didukung oleh orang Cina, ditaja oleh pembangkang dan diarah oleh DAP.

Tun  Dr Mahathir sertai Bersih 5
Orang luar mungkin tidak berapa faham mengenai keterdesakan (desperation) MAP, khususnya selepas Bersih 5 apabila bilangan peserta Melayu boleh dikatakan sama atau lebih daripada bukan Melayu.

Tetapi bekas pengarang dan wartawan MAP seperti Mustapha Kamil (New Straits Times), Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia), Imlan Abadi (Berita Harian) dan ramai lagi faham.

Mustapha dalam entri Facebooknya, antara lain menulis: “The NST can call the rally whatever it wishes. The society have already written off the 171-year old newspaper, largely on account that over the decades, its inability to tell the truth has declined exponentially.”

(NST boleh menggelar perhimpunan itu apa saja yang disukainya. Masyarakat telah menyisihkan akhbar berusia 171 tahun itu kerana kemampuannya untuk menyatakan kebenaran telah jatuh merudum sejak beberapa dekad kebelakangan ini.)

Penghakiman Mustapha sukar dipertikaikan kerana beliau baru sahaja berhenti daripada menjadi pengarang akhbar itu. Kini, Facebook beliau yang kritikal terhadap Barisan Nasional, Umno dan pemerintahan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak adalah antara yang paling ramai pengikut.

Saya cukup faham kerana saya sendiri mengambil keputusan sukar untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) pada tahun 2000 kerana tidak berdaya lagi melayan kerenah sesetengah ahli majlis tertinggi Umno.

Selama saya mengenali Mustapha, bahasa pengantar beliau adalah Inggeris. Jadi saya agak terperanjat membaca nukilan beliau dalam bahasa Melayu yang mengagumkan – lancar, mudah dan fokus.

Seorang lagi wartawan MAP yang mengambil langkah membebaskan diri daripada putar belit ialah Ku Seman yang baru-baru ini meninggalkan Utusan Malaysia. Dalam ulasannya kepada komen Mustapha, beliau berkata: “Mus, pukul 11 pagi semalam saya dah tahu tajuk akhbar-akhbar kita. Syukur saya dah lama tak baca. Baca Astro Awani online saja.”

MAP semakin tidak berkesan sebagai ejen propaganda
Imlan Abadi, bekas wartawan kanan Berita Harian dalam posting Facebooknya pula antara lain, berkata: “Hari ini akhbar online jadi tumpuan saya dan warga dunia. Ia paling murah dan mudah dicapai. Wibawa media juga boleh dinikmati melalui tulisan yang juga berwibawa. Akhbar yang kurang wibawa tentunya bukan aset untuk minda. Selamat membaca. Bacalah akhbar berwibawa seperti juga baca kehidupan yang lebih fokus."

Awan Hitam Selubungi MAP

MAP sukar melakukan perubahan agar senada dengan perubahan ekonomi, selera audiens dan teknologi kerana mereka dikongkong oleh pemilik dan pemerintah.

Akibatnya, pengedaran akhbar dan penontonan televisyen, kecuali segmen hiburan, sukan dan agama, telah jatuh merudum. Pengedaran akhbar yang memuncak pada tahun 1990-an mula mendatar pada awal tahun 2000.

Terdapat kaitan yang rapat di antara pengedaran akhbar dengan sentimen politik prokerajaan dan anti-kerajaan. Contohnya, populariti MAP pada tahun 1990-an sampai awal 2000 disertai oleh kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 1995, 1999 dan paling gemilang 2004.

Tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekalkan populariti PRU 2004 apabila beliau memperkenalkan dasar yang tidak popular seperti mengurangkan subsidi petroleum dan membiarkan budak-budak Tingkat 4 “merampas” kuasa. Peristiwa ini diekori serta-merta oleh kejatuhan audiens MAP, khususnya yang dimiliki oleh kerajaan dan parti-parti BN.

Pada pilihan raya 2008, BN yang dipimpin oleh Abdullah, kehilangan suara dua pertiga dan dengannya nasib MAP milik Umno/BN menjadi semakin malang. Keadaan mereka terus meruncing walaupun Abdullah berundur dan diganti oleh Mohd Najib pada tahun 2009. Pada PRU 2013 pencapaian BN di bawah Mohd Najib lebih hambar daripada PRU 2008.

Kemerosotan ekonomi yang berlaku selepas itu berserta dengan ledakan teknologi komunikasi menyebabkan audiens dan pasaran MAP jatuh merudum. Kecuali Sinar Harian, tren penjualan semua akhbar adalah menurun.


Akhbar bebas terus relevan dan berdaya maju
Ambil contoh Utusan Malaysia yang berupa lidah rasmi dan pengarak panji-panji Umno. Pengedarannya mencapai kemuncak pada tahun 1990-an di sekitar 350,000 naskhah sehari. Tetapi pada 31 Disember tahun lalu, perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan hariannya jatuh kepada 154,776 naskhah sahaja manakala edisi Ahad yang pernah melepasi setengah juta naskhah turun kepada 336,233.

Berita Harian merosot kepada 106,754 naskhah, Berita Harian Ahad (109,811), Kosmo (187,967), Kosmo Ahad (205,520), Metro (179,231), Metro Ahad (207,119). The Star merosot kepada 248,413 dan The Sunday Star (246,652) manakala New Straits Times yang bertindak sebagai lidah rasmi kerajaan dan Umno dalam bahasa Inggeris tinggal 62,113 naskhah sahaja dan New Sunday Times (64,850).

Begitu juga dengan stesen televisyen kawalan kerajaan dan milik Umno. Majoriti penonton mereka yang masih tinggal ialah golongan otai yang menonton segmen agama dan hiburan tempatan manakala golongan muda menonton sukan.

Tiga faktor utama yang menjejas saiz audiens MAP adalah laporan berat sebelah dan pemutaran fakta, penghijrahan ke media atas talian dan kuasa membeli yang semakin menguncup akibat kelembapan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Keterdesakan MAP perdana menjadi lebih ketara apabila kejatuhan pengedaran dan audiens disusuli oleh kejatuhan pendapatan iklan. Kejatuhan pendapatan iklan memberi kesan negatif kepada keuntungan mereka.

Utusan Melayu Berhad, penerbit Utusan Malaysia, misalnya mengalami kerugian sejak tahun 2012 walaupun telah mengurangkan kakitangan, melakukan penjimatan dan mendapat “subsidi” daripada Umno. Pembayaran gaji kakitangan pun ada kalanya tertangguh.

Kemerosotan audiens menjadikan MAP semakin tidak relevan sebagai ejen propaganda Umno, BN dan kerajaan. Di pihak lain pula, percubaan Umno, BN dan kerajaan berhijrah ke media atas talian dan sosial nampaknya lebih membawa mudarat daripada kebaikan. Reaksi audiens terhadap mesej Umno, BN dan kerajaan amat negatif. 

Wallahuaklam.

Friday 18 November 2016

HIMPUNAN BERSIH5 'TIDAK HARAM', IKUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?

HIMPUNAN BERSIH5 'TIDAK HARAM', IKUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?

Kempen yang disebarkan supaya orang ramai menyertai BERSIH5.
Penjawat awam itu siapa? Guru itu siapa? Pensyarah dan pelajar itu siapa? Juga,  belia itu siapa?

Bukankah mereka rakyat yang dijamin Perlembagaan untuk bebas menyuarakan pendapat dalam negara demokrasi seperti Malaysia?

Menyekat kebebasan rakyat adalah zalim. Dan zalim juga bagi rakyat yang melanggar peraturan ditetapkan dalam menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.

Namun jika menyuarakan pendapat secara mematuhi peraturan seperti menyertai perhimpunan yang terkawal, apakah ia suatu ‘dosa besar’ yang perlu dikenakan tindakan dan hukuman berat?

Mereka hanya mahu menyuarakan pendapat dan pandangan. Kenapa mesti ada tindak balas yang berlebihan?

Sewajarnya tidak ada provoksi sama ada oleh pihak yang berhimpun, mahupun yang ‘menentang perhimpunan itu diadakan’.

Pihak berkuasa cukup jentera untuk kawal keselamatan sepanjang perhimpunan itu. Tindakan secara peribadi atau kumpulan lain terhadap BERSIH5 tidak perlu sama sekali.

Jika ada pihak umpamanya Barisan Nasional, UMNO atau badan bukan kerajaan (NGO) lain, termasuk Baju Merah,  mahu mengadakan perhimpunan untuk agenda mereka, carilah tarikh lain.

Jangan halang mereka, lihat setakat mana BERSIH5 mahu menyuarakan pandangan.

Kerajaan mempunyai jentera penerangan dan ‘serangan siber’ yang canggih untuk melawan mereka.

Jelas dan terangkan kepada rakyat apa yang tidak benar dibawa oleh BERSIH5. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga ada jentera maklumatnya.

Apa nak dihairankan dengan perhimpunan seperti itu. Mudah untuk dipatahkan hujah mereka jika kerajaan menggunakan ‘kebijaksanaan jentera penerangan dan maklumatnya.”

Lagipun, jelas BERSIH5 bukan perhimpunan haram. Ia sesuatu yang dibenarkan.

Berasaskan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam, jelas perhimpunan BERSIH5 Sabtu ini bukan haram..

Lewat petang semalam, mahkamah berkenaan  menolak permohonan tiga kumpulan untuk menghalang BERSIH5 dan perhimpunan Baju Merah, Sabtu ini.

Mahkamah tidak dapat mengisytiharkan sesebuah perhimpunan itu sebagai haram selepas permohonan dibuat oleh  persatuan peniaga di Jalan Masjid India, Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Mara di Kuala Lumpur supaya mengisytiharkannya ‘haram’.

Persatuan itu  mendakwa mewakili kira-kira 1,000 peniaga.

Hakim S Nantha Balan berkata plaintif dalam permohonan injuksi inter-parte tidak menunjukkan merit. Jesteru itu, beliau menolaknya. Beliau terkejut apabila peguam BERSIH dan Baju Merah sama-sama menolak permohonan itu.

“Luar biasa sekali Baju Kuning dan Baju Merah boleh sepakat terhadap permohonan injuksi peniaga-peniaga di dan sekitar Dataran Merdeka,” katanya, ketika memulakan keputusannya. 

Penghakiman Mahkamah Tinggi itu disampaikan pada 7.20 petang semalam dan tamat 15 minit kemudian.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam turut mengeluatkan amaran kepada penjawat awam dengan menegaskan, lazimnya penjawat awam tahu yang mereka tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka tidak akan menyertai perhimpunan kali ini.

Berikutan itu beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai sebarang kumpulan atau perhimpunan yang tidak diluluskan di ibu negara Sabtu ini.

Mereka berdepan tindakan tatatertib termasuk buang kerja atau potong gaji.

Penjawat awam perlu ‘berkecuali’ – tidak menyertai Bersih5 yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, atau satu lagi pergerakan, yang menamakan mereka kumpulan Baju Merah.

Pada ketika Bersih5 menuntut pilihan raya yang bersih, Baju Merah mendakwa Bersih menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Baju merah mengugut untuk menganjurkan perhimpunan balas di tempat sama dan pada hari yang sama.

Tegasnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang sekiranya gambar mereka terlibat dalam perhimpunan tidak sah itu tersiar dalam mana-mana media.yang memberikan amaran itu.

Bagi penjawat awam yang menyokong BERSIH5 atau Baju Merah, mereka wajar tinggal di rumah sepanjang hari (lusa)  atau melakukan aktiviti lain tetapi jangan sertai perhimpunan.

Jika membantah atau tidak bersetuju, pendamkan sahaja di dalam hati. Islam ada cara menolak sesuatu perkara sehingga memendamkan di dalam hati dan menolaknya secara niat atau menyerahkan kepada Allah untuk menentukannya.

Dalam proses demokrasi, rakyat boleh menolaknya pada hari mengundi. Di hadapan kertas undi mereka boleh menyokong dan membantah.

Ali Hamsa tidak menyebut secara jelas, apa peruntukan undang-undang boleh digunakan terhadap penjawat awam yang menyertainya tetapi cara beliau mengeluarkan arahan akan menyebabkan penjawat awam yang menentang akan memendam rasa dan meluahnya melalui kertas undi.


Selain KSN, Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menghalang guru menyertai perhimpunan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain.

Katanya semua guru dilarang menyertai BERSIH5 atau berdepan tindakan disiplin. Mereka boleh dihukum ‘gantung dari tugas’.

‘Selain guru, pegawai dan kakitangan kementerian, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah yang menyertai perhimpunan berdepan tindakan yang sama,” katanya kelmarin.

Malah beliau meminta ibu bapa dan penjara, jangan benarkan pelajar sekolah menyertai perhimpuan berkenaan.

Pandangan Ali Hamsa serta Mahadzir itu jelas bertentangan dengan apa yang disebut oleh bekas penjawat awam yang berpengalaman, Tan Sri Razali Ismail yang kini menjawat  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).


Sangat bertentangan dengan pendapat KSN kerana menurut Razali, larangan dan ugutan itu menjadi pelanggaran terhadap Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan jika hak kebebasan berhimpun secara aman disekat.


 “SUHAKAM mengulangi lagi iaitu menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), semua rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun demikian Razali menekankan,  sementara hak untuk mengadakan demonstrasi balas perlu dikekalkan, polis dan pihak berkuasa perlu memastikan tindakan peserta tidak berubah menjadi ugutan dan merusuh.

Beliau berkata SUHAKAM menyokong usaha polis menunjukkan disiplin dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Ini ialah ciri kematangan politik,” katanya.


Selain itu, katanya SUHAKAM akan memantau perhimpunan berkenaan dan jabatan aduannya akan menerima laporan daripada orang awam.

Saturday 12 November 2016

[oh sha la la la la...]...MLA - Mahu Lindungi Siapa Apabila AG Tolak Permohonan OAG Switzerland?

MLA - Mahu Lindungi Siapa Apabila AG Tolak Permohonan OAG Switzerland?


Sebelum ini ada soalan, “Bolehkah Peguam Negara (AG) Malaysia tolak permintaan Bantuan Guaman Bersama (MLA) pihak berkuasa asing?”

Ia berkaitan dengan permohonan bantuan Malaysia untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenyataan Peguam Negara Switzerland (OAG) , Michael Lauber (gambar atas)  jelas menyebutnya sebagai ‘memohon bantuan’.

Akhbar The Telegraph United Kingdom dengan tajuk Swiss seek Malaysian help probing $4 billion financial scandal  mengatakan siasatan itu perlu dijalankan kerana skandal kewangan itu melanggar undang-undang negara berkenaan.

Persoalannya apa kesan dan telahan pihak asing kepada Pejabat AG dan Malaysia jika permintaan itu ditolak?

Apakah dengan menolak permintaan OAG  itu Malaysia dilihat cuba melindungi pihak tertentu dalam kes 1MDB? 

Sudah pasti akan timbul berbagai pertanyaan, dengan keputusan AG Malaysia itu, apakah ia usaha untuk terus ‘membersihkan Perdana Menteri’?

Ini kerana siasatan Switzerland tertumpu kepada penipuan termasuk satu bentuk skim "Ponzi", di mana pulangan bagi pelaburan asal dibayar daripada dana yang diperolehi daripada pelabur berikutnya, dan bukannya daripada hasil sah pelaburan berkenaan.

Siasatan mengenai syarikat pelaburan 1MDB yang dibebani hutang dan dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang dijalankan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
 
Malah perbicaraan bekas pegawai bank BSI Singapura yang sudah ditutup sedang berlansung selain beberapa orang lagi akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Pada  13 Oktober  2016, lalu, Malaysiakinimenyiarkan persoalan mengenai perkara ini dengan mengemukakan soalan apakah  Malaysia cuba mengelakkan diri berhubung permintaan OAG Switzerland buat kali kedua, untuk mendapatkan MLA dalam siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB?

Persoalan yang berlegar selepas permintaan kedua untuk bantuan mengikut Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah sama ada Malaysia cuba menjarakkan diri, atau sama ada kertas diplomatik "didapati telah hilang".

Sebelum itu pada pada 6 Oktober, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam jawapannya berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan tambahan MLA daripada OAG Switzerland.

"Bagaimanapun, Peguam Negara ingin menekankan komitmen kami dalam kerjasama antarabangsa dan akan mempertimbangkan sebaik mungkin permintaan ini berlandaskan undang-undang sedia ada apabila ia diterima menerusi saluran diplomatik, seperti mana ditetapkan undang-undang negara berhubung bantuan bersama perundangan," kata AGC dalam satu kenyataan.

Undang-undang yang berkaitan mengenai perkara ini ialah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.

Di bawah Akta ini, permohonan itu perlu dibuat oleh peguam negara di negara asing yang berkenaan kepada Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Hari ini, Financial Times United Kingdom melaporkan secara rasminya Malaysia menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan MLA dalam siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan 1MDB.

Dengan tajuk ‘Malaysia Rebuffs Swiss Inquiries Into 1MDB’, Peguam Negara  Switzerland itu memberitahu akhbar berkenaan dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini mengatakan pihaknya baru-baru ini mendapat respon yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan bersetuju dengan permintaan kami.

"Mereka hanya berkata bahawa di bawah undang-undang mereka, mereka tidak boleh menjawab," katanya.

Dilaporkan, Jabatan Peguam Negara Malaysia menafikan ia cuba menggagalkan siasatan pihak berkuasa Switzerland itu tetapi menyebut kerajaan akan meneruskan siasatan jenayah oleh polis Malaysia berhubung perkara berkaitan 1MDB.

Apandi...tolak permintaan Peguam Negara Switzerland.
FT memetik pejabat AG sebagai berkata, "peguam negara berpendapat bahawa permintaan ini boleh menimbulkan prejudis berlaku perkara jenayah di Malaysia," dan menambah, "tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Swiss".

Sedangkan CNBC yang memetik FT pada 23 Ogos bahawa OAG sudahpun melancarkan siasatan jenayah terhadap 1MDB.

Laporan CNBC itu menyebut: “Attempts by Najib Razak, Malaysia's embattled prime minister, to contain a financial scandal have taken a knock after Swiss authorities said they had opened criminal proceedings related to the state development fund at the center of the affair.

Switzerland's Office of the Attorney-general said its case involved "suspected corruption of public foreign officials, dishonest management of public interests and money laundering".

Its confirmation of proceedings involving 1Malaysia Development Berhad, or 1MDB, which has $11 billion in debt, marks the potential internationalization of a case that has so far received mainly domestic scrutiny. The fund, established in 2009 by Malaysia's finance ministry, is supervised by an advisory board chaired by the prime minister.”

Dan pada 12 Oktober  2016 pula, OAG Switzerland mengatakan pihaknya memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) dari awal Oktober 2016.


FINMA,  sehari sebelum itu,  mendedahkan kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank.

Menurut FINMA, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.

Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai tahun lalu.

Najib mendakwa wang itu adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.

Pada 28 Oktober lalu ketika mengesahkan pejabatnya telah menerima permintaan daripada OAG  Switzerland di bawah MLA,  Peguam Negara tidak mengulas panjang.

Dilaporkan pada 6 Oktober bahawa pejabat peguam negara Switzerland telah menghantar permintaan MLA kedua untuk Malaysia.

Ini merupakan  permintaan kedua untuk mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatannya dari Malaysia di bawah Bantuan Perundangan Bersama, selepas pejabat peguam negara di negara ini mendakwa ia tidak menerima permohonan pertama.

Apandi sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah perjanjian antara dua atau lebih negara bagi tujuan pengumpulan dan pertukaran maklumat dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang awam atau undang-undang jenayah.

Dengan pendrian Pejabat Peguam Negara Malaysia kini, apakah kita sebenarnya tidak lagi mahu bekerjasama dan tidak peduli dengan persepsi antarabangsa?

Atau memang tidak penting bagi kita untuk menjayakan Bantuan Perundangan Bersama selain menghormati Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa?


Nampak gayanya, kerajaan ketika ini sedang menuju ke arah itu.

Kos ECRL Tinggi - Mereka Yang Berpengalaman Tapi Kritik Semuanya Bodoh, Yang Pandai Hanyalah Pro 1MDB

Kos ECRL Tinggi - Mereka Yang Berpengalaman Tapi Kritik Semuanya Bodoh, Yang Pandai Hanyalah Pro 1MDB




Pada kos sebanyak RM91.67 juta bagi setiap kilometer, pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menjadi salah satu daripada laluan kereta api dan kargo antara negeri yang paling mahal yang akan dibina di dunia, menurut pemain industri.

"Ia boleh menjadi projek infrastruktur kereta api yang paling mahal di dunia dalam kelasnya...Ia projek yang baik tetapi tidak pada harga yang tidak masuk akal ini," kata seorang eksekutif dari sebuah syarikat pembinaan.

Seorang penganalisis yang enggan namanya didedahkan turut bersetuju. "Terdapat unsur terlebih bayar tetapi tidak pasti apa perkaranya. Pengangkutan kereta api negeri tidak secara umumnya menelan kos yang begitu banyak."

Apabila ditanya sama ada harga yang tinggi itu mungkin kerana keperluan untuk membina terowong melalui banjaran gunung Titiwangsa, beliau menjawab 'tidak', memetik laporan oleh theedgemarkets.com. - Mkini 

"Di manakah rasionalnya apabila kos pembinaan bernilai RM55 bilion, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta, sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya," kata beliau, memetik laporan Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, laporan yang sama berkata, eksekutif berkenaan menganggarkan kos pembinaan landasan kereta api itu boleh dilakukan pada hanya RM36 bilion.

Beliau berkata, rakan sekerja industri pembinaan yang berasal dari Eropah pula percaya kos untuk pembinaan projek itu ialah RM32 bilion bagi keseluruhan laluan.

"Kedua-dua anggaran tersebut termasuk kos untuk membina terowong melalui banjaran gunung Titiwangsa," kata beliau lagi.

Itu kata professional dalam bidang mereka yang berkaitan sepertimana laporan paper2 .... di bawah ini pula saya kongsikan emel pandangan daripada seorang pengomen yang biasa kita baca di beberapa blog ternama, iaitu Rahman JPC yang pernah terlibat aktif dalam industri pengangkutan khususnya keretapi -
1) Sungguh pun telah bersara selama 13 tahun daripada perkhidmatan kerajaan, namun saya masih lagi berinteraksi dengan pakar runding dalam industry perkereta apian.

2) Malahan pada akhir 2013 saya berkesempatan mengadap baginda Sultan Johor untuk berbincang mengenai industry rail khusus nya projek landasan berkembar elektrik 'Gemas-JB'. Dalam dialog saya dengan baginda Sultan, saya sempat membangkitkan 'rationale' mengapa ianya TIDAK perlu ditawarkan kepada syarikat dari Negara China dengan harga yang jauh lebih mahal jika di banding dengan syarikat2 tempatan yang saya yakin mempunyai kepakaran untuk melaksanakannya. Baginda yang banyak pengetahuan mengenai industry rail telah berkenan mengambil maklum.


3) Saya telah juga berkesempatan untuk berjumpa dengan Tun Mahathir di mana beliau bersependapat bahawa setelah berjaya melaksanakan hampir semua projek2 rail di dalam negara, maka tiada sebab projek2 berikutnya perlu ditawar kepada syarikat rail daripada negara2 lain. Malahan Tun berpendapat sudah sampai masa nya syarikat2 tempatan kita pula yang memasarkan kepakaran mereka kepada negara2 membangun yang lain.


4) Hanya terdapat satu projek yang nilai nya agak besar (rm400 juta) yang di tawar kan kepada syarikat IRCON (Indian Railway Construction Co.) dengan menggunakan kaedah 'counter trade/ offset' dengan pembekalan minyak sawit bagi mengatasi sabotaj daripada 'anti palm oil lobby' yang berpusat di USA.


5) Bagi negara2 yang sedang membangun, dan  mempunyai hasil bumi yang kaya, maka kaedah  ini amat berkesan untuk mengujudkan 'win win situation'.


6) Ada ura2 pada satu ketika dahulu untuk memberikan jajaran rel berkembar Seremban-JB  kepada syarikat daripada negara China dan jajaran Ipoh-Padang Besar kepada IRCON (India). 


7) Namun di hari2 terakhir Tun Mahathir menjadi PM, kedua2 jajaran tersebut telah ditawarkan kepada syarikat tempatan dengan harga keseluruhan rm14 bil .


8) Setelah Pak Lah mengambil alih sebagai PM, tawaran tersebut telah ditarik balik degan alasan kerajaan tiada peruntukan.


9) Mungkin atas desakan pihak tertentu jajaran Seremban-Gemas telah akhirnya di tawarkan kepada IRCON dengan kos lebih kurang rm5 bil, dan jajaran Ipoh-Padang Besar kepada syarikat tempatan  dengan kos lebih kurang rm14 bil.


10) Saya telah mendapat maklum bahawa  jajaran Gemas-JB  telah akhirnya ditawarkan kepada syarikat daripada Negara China dengan harga lebih kurang rm7.5 bil.(sungguh pun sudah bertahun tertunda khabar nya projek ini masih belum di mulakan).


11) Maklumat yang ingin saya kongsi bersama ialah mengenai kos keseluruhan projek untuk jarak lebih kurang 700 km yang pada mulanya  hanya rm14 bil (sebut harga syarikat tempatan) telah melambung kepada rm26 bil.


12) Sungguh pun demikian bagi jarak yang lebih kurang sama kerajaan Malaysia telah rela menerima harga  yang saya rasa lansung tidak masuk akal bagi projek ECRL (rm55 bil).


13) Sebaik sahaja kami (rakan2 perunding) mendapat maklum bahawa ECRL akan di bina dengan harga yang begitu fantastis, kami turut  tergamam. Kami sedar bahawa projek ini telah di fikirkan sejak 2008 lagi tetapi pihak perunding jelas menyatakan 'it is going to be a non starter'.


14) Kajian kemungkinan ( feasibility study ) tidak dibuat. Kami yakin 'ridership' nya ( penumpang ) serta 'volume cargo' nya tidak langsung memberi justifikasi yang kuat untuk membinanya sekarang. KTMB kerugian hampir setiap tahun  dan memerlukan bantuan  rm beratus juta (hutangnya tidak mungkin dapat dibayar balik). Projek yang tidak diperlukan sekarang sudah pasti menaikkan kos penyelenggaraan dan memburukkan lagi kedudukan kewangannya.


15) Sebagai panduan (rule of thumb), kos membina 1 km landasan berkembar ialah rm30 juta. Ini termasuk 'earth works', 'structures' 'signaling and comms', 'electrification' dan 'rail installation'.


16) Bagi ECRL kosnya dianggar sebanyak rm90 juta untuk 1km dan ini sungguh tak masuk akal ! Ini pun kami mendapat maklum bahawa ianya 'single line' dan tiada 'electrification' - bemakna kos sebenar akan jauh lebih murah daripad kos panduan rm30 juta per 1km. Berdasarkan panduan ini kos keseluruhan ECRL tidak mungkin melebihi rm 20/25bil .

17) CCCC, syarikat yang dikenalpasti untuk melaksanakan projek raksasa ini mempunyai 'business practice' yang kurang 'ethical' dan pernah disenarai hitam oleh 'badan dunia'. 'Track record' nya juga tidak menyakinkan.

18) Amat menghairankan dengan sikap kerajaan pusat negara China. 'corruptor' perseoranagn dihukum berat, tetapi dalam international relation,  'institutional curruption' digalakkan  demi 'survival' negara mereka. Banyak negara2 mundur dan membangun telah terpengaruh. Sedihnya Malaysia  sudah pun digolongkan  sebagai Negara yang sudah hilang maruah dan dihimpunkan dalam kelompok negara 'desperate'


RUMUSAN

Saya telah membuat kesimpulan bahawa projek ini sengaja diwujudkan bagi membolehkan 'lanun2 berdaftar' ini merompak  degan cara terhormat sekali lagi.


Pinjaman diberi tetapi bayaran baliknya ditunda selama 7 tahun. Bijak  sungguh 'modus operandi' yang amat lick ini - kos projek sengaja digelembungkan untuk mereka menikmati hasilnya sekarang , dan anak2 dan cucu2 kita dibebankan dengan  pembayaran balik -  'cukup celaka' !


Projek ini wajib dibatalkan dan jika mahu diteruskan juga, ianya perlu diodit terutama dari segi kosnya.

wallahu aklam.


hj Abdul Rahman hj mohd noor,

mantan pegawai kanan MOT,  

mantan ahli lembaga pengarah KTMB.

                          **************************

Kajian mendalam dah dibuat bertahun2 dulu .... ? Standardlah jawapan sebegitu dari kerajaan. Pelaburan 1MDB - Petrosaudi dulu pun dikatakan telah disempurnakan kajian2 bagai. Akhirnya terdedah juga rupa2nya kajian tahi kucing.  Duit lesap, lidah terbelit dan kesemua kabinet dilihat bodoh oleh rakyat.

Kita tidak menolak pembangunan. Apa yang kita mahu adalah KETELUSAN. 

PS - Tajuk artikel itu memang benar pun.... Yang kita nampak setuju dan sokong sangat2 projek ECRL dengan kosnya yang WORLD RECORD itu secara kebetulan adalah mereka yang turut sama menyokong skandal 1MDB. 

Apakah maksud disebaliknya ?