KANAK-KANAK mangsa banjir di Kuala Kangsar, Perak ini sangat ceria apabila menerima kunjungan Lee Chong Wei semalam.
Jaguh badminton negara itu meluangkan masa melawat beberapa sekolah yang dijadikan pusat pemindahan di sekitar Perak bukan saja untuk menghulur bantuan, malah mengharapkan kehadiran­nya mampu menggembirakan mereka yang sedang dalam kesusahan.

Walaupun pemain berusia 32 tahun itu sedang berdepan isu doping yang melibatkan dirinya masih belum selesai, namun pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, kesusahan yang dialami­nya tidak seteruk penderitaan mang­sa-mangsa banjir.

“Hari ini saya meluangkan masa untuk melawat mangsa banjir di Kuala Kangsar dan sekitar Ipoh. Memang kasihan melihat keadaan mereka yang serba kekurangan dengan tidak cukup makan dan hilang tempat tinggal.

“Tidak banyak yang dapat saya lakukan untuk mereka, sekadar membantu apa yang terdaya. Namun yang lebih penting, saya lihat wajah pakcik-pakcik dan makcik-makcik sangat ceria apabila melihat ada orang datang ambil berat serta bertanyakan khabar mereka.

“Saya harap sangat saya dapat membantu mereka dalam apa jua bentuk yang boleh. Selepas ini, kalau ada kelapangan saya bercadang untuk melawat mangsa banjir di Pahang dan Terengganu. Di Kelantan, saya difahamkan di sesetengah kawasan air sangat tinggi dan sangat berbahaya untuk dikunjungi” kata Chong Wei kepada Utusan Malaysia menerusi telefon semalam.