Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat PAS yang berlangsung selama kira-kira empat jam malam tadi memutuskan untuk tidak mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) seperti yang dicadangkan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sebaliknya satu program seminar politik disertai oleh perwakilan parti itu dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu memperkasakan parti akan diadakan di Markas PAS Taman Melewar pada 7 November ini.

"Keputusan ini dicapai sebulat suara setelah mengambil kira pandangan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan sesuatu untuk mengumpulkan akar umbi," Presiden parti, Datuk Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibupejabat parti itu di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Mesyuarat yang bermula jam 9 malam itu berakhir seitar jam 1 pagi.

Ditanya mengenai tulisan Nik Aziz dalam laman blognya yang memberi gambaran adanya beberapa pemimpin utama parti itu yang pro-kerajaan perpaduan dengan UMNO , Hadi berkata, Musyridul Am PAs itu telah mengatakan segala tuduhan itu adalah tidak benar.

“Tuduhan itu tidak benar. Beliau sudah jelaskan,” jawabnya ringkas

Hadi mengumumkan mesyuarat khas itu juga mencapai kata sepakat bahawa PAS akan menjalankan peranan lebih aktif untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Katanya, mesyuarat juga memutuskan supaya isu kerajaan perpaduan ditutup dan tidak dibincangkan lagi.

Beliau memberitahu mesyuarat turut membincangkan masalah yang berlaku dalam PAS Selangor dan mengambil keputusan menubuhkan jawatankuasa khas disiplin untuk menyiasat. Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh DatukTuan Ibrahim Tuan Man.

"Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan menyiasat sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu setiausaha agung PAS, Mustafa Ali dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub .

Nik Aziz turut hadir dalam mesyuarat berkenaan, tetapi pulang lebih awal, pada kira-kira 11 malam.

Hadi berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai hala tuju parti itu selepas Pilihanraya Kecil Bagan Pinang

source : agendadaily